Statistik Terkini

Friday, April 1, 2011

Aku Bukan Siapa




Aku bukan siapa-siapa. Aku hanya lelaki yang banyak kekurangan malah kelebihan yang ada pada diriku bagaikan langsung tidak bersinar. Sukar untuk aku menilai sesuatu yang indah dalam hidupku dengan sekejap waktu manakala dukaku pula menghitung hari-hari nan seribu itu untuk menyembuhkan luka di jiwaku yang kian parah.
Nama aku Wan Rizal Hakimi anak laki-laki yang berbadan kecil berhidung mancung dan berkulit cerah. Wajahku mirip abang sulungku, cuma bezanya aku berkaca mata. Ramai orang fikir aku dan dia kembar. Hakikatnya dia lebih tua setahun dari aku. Nama abang ku itu Wan Romzi Hakimi. Ya tetap ada Hakimi di belakang nama kami. Bukan nama ayahku tapi hanya hujung nama kami sahaja. Ayahku bernama Wan Zafri Aman jadi nama penuhku Wan Rizal Hakimi Wan Zafri Aman. Panjang benar nama ku itu bukan?
Aku hanya mahu bercerita sedikit kisah hidupku pada kalian yang sudi membacanya. Ia suatu pengalaman yang sukar untuk aku lupakan. Sebelum aku terlupa izinkan aku beritahu usiaku. Usiaku kita 35 tahun namun nampak awek muda biasalah senyum selalu bagi menyembunyikan keresahanku. Namun diusia ini,mana ia menjadi beban buatku. Abang aku, Wan Romzi sudah mendirikan rumah tangga sembilan tahun yang lalu dan dikurniakan tiga cahaya mata. Bagaimana dengan aku? Oh... ia berkenaan jodoh.
Sibuk dengan kerjaya adalah alasan yang sering aku berikan pada orang tuaku. Mereka sering bertanya padaku. Kenapa aku tidak berumahtangga sehingga ke hari ini? Amat sukar untuk aku luahkan.
“Kenapa kamu sampai sekarang belum menikah? Semua perempuan yang ibu pilih kamu tidak setuju. Dengan pilihan sendiri juga sampai sekarang masih juga belum menikah? Apa kata tunang kamu tu, Rizal? Kau ada ajak dia kahwin ke tidak? Tempoh pertunangan kau dengan dia tu makin berlarutan, kenapa macam ni Rizal?” Ibuku bertanya pada aku setiap kali aku pulang ke kampung.
Aku sibuk. Itu jawapan aku. Aku tiada masa untuk memikirkan hal itu namun tatkala aku sendiri pasti perasaan itu hadir. Perasaan ingin berumahtangga. Sukar untuk aku mengerti. Aku memberitahu pada ibuku bahawa aku dengan tunang baik-baik sahaja.
Suatu hari aku ditimpa musibah yang paling teruk seumur hidup aku. Benar-benar menjatuhkan maruahku. Tercalar sudah dinding hatiku bagaikan dirobek rakus oleh insan bergelar kawan.
Maliki nama insan yang membuatkan hidup aku huru hara. Farah kekasih hatiku dirampasnya. Kenapa pula cinta Farah berubah? Tidak sanggupkan dia tunggu aku? Sungguh hiba rasa hatiku ini.
“Kenapa awak buat saya macam ni? Apa kesalahan besar yang pernah saya lakukan sehingg awak menghukum saya begini?” aku menyoal  Farah setelah aku menarik tangannya sebelum dia sempat masuk ke dalam perut kereta Maliki.
Aku dan dia berbincang di sebuah coffe house dan ketika itu telefon milik Farah berbunyi. Tiada siapa lagi, mestilah Maliki. Terus sahaja dia angkat punggung dan berlalu tinggalkan aku.
Ketika itu aku merenung ke dalam matanya. Dia juga begitu. Rambutnya yang mengerbang itu hampir menutupi wajahnya tatkala ditiup angin. Aku cuba mengalihkannya agar pandangan mataku dapat melihat wajahnya meskipun dia ingin pergi pada lelaki itu. Lelaki yang pernah menjadi sahabat baikku akhirnya menikam aku dari belakang.
“Saya dah tak sanggup lagi hidup begini! Menunggu awak, sampai ke tua saya tak akan kahwin. Biarpun awak punya kemewahan dan kekayaan tapi sukar untuk saya hidup dengan awak kerana setiap kalinya saya ajak awak kahwin awak banyak beri alasan. Saya sudah bosan!” bentak Farah sambil membuka pintu kereta Toyota CAMRY 2.0 milik Maliki.
Aku menarik tangannya tidak rela dia meninggalkan aku begitu sahaja setelah cinta antara kami bersemi selama tujuh tahun itu bakal musnah sedetik waktu lagi. Aku tidak tega membiarkan perkara ini berlaku namun apalah dayaku seorang lelaki yang begitu lemah dalam keyakinan diri.
Sepatutnya aku harus sedar kerana masih terdapat ramai wanita yang meminatiku tetapi aku sukar menerima cinta mereka sebagaimana aku menerima cinta Farah dalam hidup aku. Setiaku untuk farah.
“Farah... jangan buat macam ni Farah...” aku merayu padanya. Waktu pejabat aku berlalu begitu sahaja. Aku tidak pulang ke pejabat ketika ini. Sepatutnya aku ada temujanji dengan client tetapi aku batalkan.
“Awak nak apa lagi?! Tolonglah! Lepaskan tangan saya!” arahnya dengan nada tegas.
Aku memegang pergelangan tangan Farah begitu kuat sekali kerana tidak rela. Aku benar-benar tidak rela dia tinggalkan aku demi lelaki itu.
Farah cuba melepaskan diri tetapi aku tetap begitu.
Tidak lama selepas itu Maliki keluar dari perut kereta dengan berkerut dahi. Ya, dia bertubuh besar, aku pula bertubuh kecil mana mampu nak lawan dirinya.
Maliki menghampiri aku dan dengan pantas dia menumbuk aku! Argh!
“Kau ni kenapa? Perempuan ni dah tak nak kat kau! Yang kau terhegeh-hegeh ni kenapa? Berambuslah!” marah Maliki tatkala aku sudah terjatuh dek terkena tumbukan padu darinya. Kaca mata aku jatuh dan pecah terpijak. Aduhai!
Dapat aku rasakan bahawa banyak mata memerhatikan tragedi itu. Aku sungguh malu. Aku bagai dayus membiarkan Farah lari ikut lelaki lain. Namun Farah bukan lagi tunang aku setelah dia pulangkan cincin pemberianku lima tahun lalu setelah bercinta selama dua tahun yang bersarung dijari manisnya.
“Apa hal lembam biji mata kau tu Rizal?” Adha bertanya padaku tentang kes itu.
Aku tidak memberikan apa-apa penjelasan. Adha memaksa aku ceritakan hal itu. Maka naik biru wajah Adha.
“Bodoh betul Maliki tu! Sudahlah perampas tunang orang lepas dia tumbuk kau pulak! Apa hak dia? Kenapa Maliki jadi sampai macam tu sekali? Geram pulak aku dengan dia tu lah! Sudah tak macam dulu! Sekarang dia berlagak nak mampus,” Adha marah-marah sambil bercekak pinggang.
Di kala itu aku hanya mampu memandang wajahnya sahaja. Itupun kelabu. Kaca mata aku sudah rosak. Aku perlu tempah kaca mata baru. Tanpa kaca mata akan membuatkan tugas harian aku bertambah sukar. Itulah kaca mata kesayangan aku yang besar saiznya. Iyalah tahap rabun aku begitu tinggi. Pulang tadi pun aku berhati-hati memandu perlahan sahaja.
“Aku nak pergi jumpa dia. Aku nak buat perhitungan dengan dia!” tegas Adha.
“Jangan! Kau jangan masuk campur urusan peribadi aku Adha,” Aku melarang.
“Tapi kau kawan aku. Kita bertiga kan kawan baik sejak dari kolej lagi,”
“Itu dulu Adha... bukan sekarang,” balas aku sambil menggaru dahi sendiri dan tertunduk wajah di sofa.
Sedih benar hatiku. Terkilan dan benar-benar membuatkan aku jadi keliru. Adha ingin membantu namun dengan pergaduhan tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa masalah.
***
Aku sedang siapkan kerja tertangguh di pejabat. Tidak semena-mena aku menerima panggilan dari orang yang aku kenali dan orang yang benar-benar buat aku sakit hati.
“Aku nak jumpa dengan kau di Mesra Kopitiam pukul tiga petang,”
“Aku banyak kerja,”
“Jangan banyak alasan. Sekarang bukul dua, kau masih ada masa satu jam dari sekarang atau kau akan kehilangan Farah dalam hidup kau buat selama-lamanya,” ucapan Maliki itu benar-benar membuatkan jantung aku berdetak kencang.
Otak aku menelaah ucapan itu yang kini sudah dimatikan panggilannya. Apakah itu berunsur ugutan? Adakah Maliki sengaja menakut-nakut aku? Aku tidak keruan.
Aku mula rimas. Tali leher aku longgarkan. Kot aku sangkutkan pada lengan kemudian aku terus meluru keluar dari pejabat.
“Husna... beritahu Encik Naim dan Encik Hawis, katakan saya terpaksa batalkan appointment dengan mereka. Emegency kes jadi saya kena pergi dulu. Tunda ke tarikh berikutnya. Okey?” Aku mengarahkan Husna selaku setiausaha di syarikatku.
Sepanjang perjalanan, fikiran aku memang berkecamuk sekali. Tidak henti-henti memikirkan apa yang bakal berlaku.
Tidak berapa lama kemudian aku sampai ke tempat yang dijanjikan. Langkah aku terasa berat namun aku terpaksa juga.
Aku lihat Maliki menunggu di situ sendiri. Bertubuh sasa dan berkulit sawo matang serta bermisai lebat tidak seperti aku.
“Haa... akhirnya kau datang juga,” ucap Maliki sambil berdiri menyambut kehadiran aku di hadapan matanya. Kemudian dia duduk semula.
Setelah kes dia tumbuk aku tiga hari yang lalu baru sekarang aku nampak muka dia semula itu pun dia paksa aku berjumpa. Kalau ikutkan hati aku, aku memang tak nak jumpa dia. Aku mula menyimpan perasan geram padanya.
“Macam mana dengan mata kau?” sudah tentu sakit menyerigai aku waktu tu.
Dia masih bertanya sedangkan dia masih nampak kesannya masih wujud. Kalau aku ni jahat sudah lama aku buat laporan polis! Tapi atas dasar kasih sayang aku terhadap kawan maka aku biarkan sahaja. Lagipun aku dengan dia berkawan sudah lama namun dalam soal ini aku kena bertegas. Aku tidak tahu kenapa dari dulu sampai sekarang aku takut dengan Maliki?
Aku terpaksa bercakap dengan dia. Aku kena dengar apa yang dia hendak sampaikan.
“Rizal... aku mintak maaf di atas apa yang berlaku. Aku nak kau tahu bahawa aku juga mencintai Farah sejak dulu lagi. Tapi perasaan aku hancur setelah Farah bertunang dengan kau. Bukan aku sengaja mengambil kesempatan di atas keretakkan hubungan kamu berdua. Tapi Farah juga berhak bahagia. Berapa lama dia patut tunggu?” ucap Maliki.
“Habis ini bukan masuk ambil kesempatan namanya?” aku beranikan diri berkata-kata seperti itu.
“Ya boleh dikatakan begitu tapi ia tidak sepenuhnya. Kau kan patut berkahwin dengan dia selepas setahun bertunang, betul tak? Tapi kau tangguhkan. Salah siapa? Dia selalu mengadu pada aku, jadi aku juga tidak mahu dia menderita. Kau tidak pernah luangkan masa pada dia malah kau sibuk dengan kerja-kerja kau yang tak sudah-sudah tu,” Maliki membebel panjang lebar.
“Tapi kenapa harus kau yang jadi penghancur hubungan aku?” balas aku keran akawan baik sendiri bertindak begitu.
“Tidak!! Aku tak berniat bergitu Rizal. Aku berkecil hati dan aku juga berangapan begitu. Farah terfikir kau tidak bernafsu pada perempuan. Dia anggap kau homoseksual. Bagaimana dengan aku sebagai kawan kau? Tempiasnya mungkin terkena pada aku,”
“Apa?!!! Kejamnya tuduhan itu pada aku! Apa buktikan menunjukkan aku begitu? Aku tidak pernah buat kerja tu! Kau ingat aku ni apa hah?”
“Foto ini jelas Rizal!! Aku yang rakamkannya! Tapi aku tak sejahat itu untuk mendedahkannya pada Farah siapa kau sebenarnya,” aku terkejut bagai luruh jantung aku.
Aku melihat sekeping gambar memang itu adalah aku. Berada di atas tilam dan dipeluk oleh lelaki lain yang tidak nampak wajah namun keadaan lelaki itu separuh bogel.
“Maliki?! Apa semua ni? Aku bukan homoseksual. Gambar ni macam sabotaj. Kau edit!!” bermati-matian aku pertahankan diriku.
“Tidak!! Aku tak edit! Real. Adha beritahu aku tentang ini, ketika aku ke rumah kau! Aku tanya mana kau pada Adha dan Adha cakap kau ada dalam bilik dengan orang lain. Adha marah tapi dia tak berani menghalang kerja kau tu. Dia rasa berdosa membiarkan kau jadi macam ni dan aku tak puas hati. Aku masuk bilik kau dan kau sedang tidur dengan lelaki yang ada dalam gambar ni,” terang Adha.
Ya Allah! Apa semua ni? Kenapa semua ini berlaku ke atas diri aku? Fitnah! Siapa yang aniaya aku? Dalam fikiran aku jelas menangkap nama Adha. Kalau benar dia katakan aku homseksual kenapa dia  masih baik dengan aku? Amat mengelirukan aku.
Aku betul-betul tidak puas hati. Lalu aku mengharapkan kebenaran akan terbukti tentang siapa yang salah dalam soal ini. Aku tarik tangan Maliki supaya ikut aku.
“Kau nak ke mana?”
“Ikut aje,” kataku.
Dan aku minta Maliki ikut aku dengan menaiki kereta aku sahaja. Di dalam hati aku benar-benar sakit hati dan terkilan. Hanya Allah yang Esa mengetahui apa yang terbuku di lubuk hati aku ketika ini.
Rupanya aku dianggap cintakan sejenis hingga selalu bertangguh perkahwinan antara aku dan Farah. Kalbuku remuk.
Tidak berapa lama kemudian aku tiba ke pejabat Adha. Aku memang tak tahan lagi. Aku sudah mula rasa nak gila. Sahabat baik aku anggap aku gay! Aku bukan gay! Aku kesal kerana keadaan ini berlaku ke atas diriku. Adakah gambar itu  menunjukkan aku dinodai? Tidak! aku tidak patut berasa sedemikian kerana aku tidak pernah melakukan perbuatan itu!! Sumpah!!
Setiba di situ aku tidak peduli lagi orang yang pandang. Maliki masih membuntutiku. Aku tarik tangan Adha supaya ikut aku keluar. Adha terpisat-pisat aku tarik dia begitu. Mungkin bos dia akan ingat itu kes pukul. Lantaklah aku tak nak buat kecoh dalam pejabat dia. Aku nak dia ikut aku.
“Aku nak kau cakap dengan jujur!” marah aku di tempat parkir kereta.
Maliki memerhatikan sahaja.
        “Hal apa ni?” soal Adha pula berbasa-basi.
“Kau jangan nak berdalih la Adha!” ujar aku sambil menunjukkan foto berkenaan.
Dia seperti keliru. Apa yang sedang dia fikirkan? Mungkin dia juga terkejut dengan gambar itu kerana dari riak wajaknya nampak begitu jelas dia tidak sangka.
“Aku tak tahu menahu soal gambar ni,” jawabnya
“Kau tunjukkan aku masa tu kan?”
“Ya sebab aku nak kau tahu siapa Rizal yang sebenarnya!!! Aku benci dia!!!” bentak Adha tiba-tiba.
Dalam diam Adha membenci aku? Apa sebab dia nak benci aku sedangkan dia rakan serumahku? Bukankan dia nampak membela aku dan bencikan Maliki? Ah! Aku benar-benar keliru dengan keadaan ini.
Tiada apa lagi yang mampu aku ungkapkan lagi. Terpaksa aku tinggalkan mereka. Aku harus biarkan diriku dihina begini. Aku insan alpa dituduh sebegitu rupa. Aku berharap Adha memberitahu aku akan kebenarannya.
***
Hal itu terbiar sepi. Adha dan Maliki tidak ungkit lagi. Kata mereka itu adalah hak aku dan menerima dengan hati terbuka. Wajarkah begini? Wajahkah menganggap aku sebegitu. Aku lagi sedih dan perasaan aku terlalu rapuh hingga patah ranting cintaku melihat Farah insan aku cintai itu mendirikan rumahtangga dengan Maliki.
         Oh Tuhan... kenapa sebegini hebat dugaan hidupku? Aku benar-benar sedar bahawa cintaku ini hanya untuk-Mu sahaja. Aku tidak mampu ya Allah... tidak mampu menolak ujian yang telah kau berikan dalam hidup aku.
         Sedang aku bersedih selama setahun itu dan hidup tertekan dengan apa yang berlaku bagai seorang yang mengalami tekanan perasaan. Iya aku harus tabah. Hidup aku memuji Tuhan yang Esa. Dia Maha mengetahui segala-galanya.
Fikiran aku yang terbang di awan-awangan terbayang saat persandingan Farah dari jauh itu begitu menghibakan aku. Tanpa ku sedar pipi ku sudah berlinangan. Sungguh tergores hatiku sebagai lelaki.
Sedang aku duduk sendiri di sofa di saat malam yang benar-benar dingin dan tidak semena-mena loceng rumahku berbunyi. Bayangan di minda berkecai. Aku terus bangun dan mendekati pintu rumahku setelah habis air mataku diseka. Tombol dipulas dan dengan perlahan-lahan daun pintu dikuak perlahan.
“Eh! Adha...’ aku terkejut kerana terpacul lelaki yang bertubuh mantap dan berwajah bersih itu.
Dalam hati aku sebenanrnya rindukan kawan-kawan tapi apa aku boleh buat aku dituduh sukakan sejenis.
Adha tidak bersuara namun dia segera memeluk aku di muka pintu aku. Aku tergamam. Benar-benar membuatkan perasaan aku jadi penasaran.
“Maafkan aku Rizal... maafkan aku,” mencurah-curah air matanya membasahi bahuku.
Aku terpisat-pisat. Apakah semua ini? Setelah setahun berlalu Adha seakan menyesali sesuatu.
Aku menolaknya sedikit supaya dia berganjak. Aku tenung dia.
“Kenapa Adha... mari masuk ke dalam dulu...” pelawaku. Sejak kes dulu itu Adha pindah rumah. Sudah lama dia tidak jenguk aku dan kini dia datang menjelma di mataku.
Dia duduk di sofa. Aku menghadap wajahnya. Dia tunduk bermain dengan jari-jemari.
“Rizal... sebenarnya... sebenarnya...”
Aku menunggu apa yang mahu dikatakan olehnya.
Dia susah nak cakap kenapa? Berat sangat ke lidahnya itu? “Cakaplah,” ujar aku setelah dia terdiam sahaja.
Dia seolah-olah tidak dapat bertentang mata dengan aku. Dia menyembunyikan sesuatu sekian lama.
“Aku bersalah pada kau,”
“Maksud kau?”
“Aku yang rancang semua tu. Tolong maafkan aku,”
Aku menggeleng. Aku tidak mampu marah mereka lagi. Sudah takdir diriku mereka menuduh aku. Aku sudah lama pasrah.
Aku terdiam seribu bahasa. Adha menyambung cerita.
“Pada malam tu aku telah masukan sesuatu dalam minuman kau Rizal... untuk dilihat kau betul-betul lelaki itu. Lelaki yang sukakan kaum sejenis. Aku cemburu! Ya masa tu aku cemburu kau kurang berikan perhatian pada aku sebagai kawan baik kau semenjak kau ada Farah. Sudah lama aku menyimpan perasaan...”
“Cukup!!” aku memotong ayat Adha.
Sekarang sudah masuk ke otak aku dengan apa yang dia ucapkan. Dia tidak perlu jelaskan selebihnya kerana hati aku sudah mula meruap. Sudah panas. Dari situ dapat aku simpulkan Adha sukakan aku!!! Ya ALLAH! Mengapa begini terjadinya hamba-hamba yang hidup di atas muka bumi ini? Tidak takutkah mereka padamu Ya ALLAH? Sesungguhnya seksaan dari-Mu terlalu pedih.
“Aku dah berubah!” bentaknya. “Aku dah kembali ke pangkal jalan. Aku kena terus terang dengan kau, tentang hal ini. Kalau kau nak marah aku marahlah. Lagipun tiada siapa pun yang tahu berkenaan hal ini dan aku tahu Tuhan tahu kejahatan yang telah aku lakukan. Rizal... aku dah ceritakan perkara yang benar pada Maliki... dia marah aku. Aku terpaksa cerita juga kerana kamu berdua kawan baik aku dunia akhirat. Maafkan aku Rizal...” Adha merayu pada aku.
Semuanya sudah terlambat. Farah sudahpun menjadi isteri Maliki. Biarlah mereka bahagia kerana Maliki lebih berhak membahagiakan Farah. Sekiranya aku bersama dengan farah sekalipun, Farah tidak akan pernah bahagia walau semanis mana pun percintaan kami.
Mereka tidak tahu apa yang aku alami. Mereka tidak pernah mengerti. Aku lelaki normal. Aku bukan apa yang mereka fikirkan. Aku mengelak kerana bersebab. Hmmm...
Berkenaan Adha... Tuhan lebih layak mengampunkannya. Bukan aku. Aku hanyalah manusia yang lemah. Aku kerdil di sisi-Nya. Kerdil sekali hingga menapak pun lesu mengenang dugaan ini. Aku patut redha.
Biarlah ia menjadi rahsia bahawa aku lelaki mati pucuk. Kerana itu aku tidak dapat berkahwin dengan Farah mahupun sesiapa sahaja. Aku redha. Doktor mengesahkan aku tentang hal itu. Peluang untuk organ seks aku kembali berfungi tiada sama sekali. Jelas doktor aku juga mandul. Itulah jawapan bertahun-tahun dulu aku simpan sendiri. Biarlah aku abadikan cintaku pada ALLAH SWT.


Itulah realiti hidup yang terlalu pahit harus aku telan juga. kasih sayang ALLAH terlalu tinggi nilainya maka tidak akan aku persia-siakannya kerana ini dugaan dalam hidupku sebagai hamba-Nya.


P/s : best ke tak best? hurm apa pandangan korang tentang cerpen ni?

No comments:

Post a Comment