Statistik Terkini

Friday, April 1, 2011

Sahabat Yang Hilang

"Dhamah... aku minta maaf... aku tidak bisa lama lagi, kelopak mataku ini berat sekali, terimalah mataku ini nanti, agar kau dapat melihat lagi, dunia ini..." Miqael berkata-kata dengan lemah sekali.

"Jangan kau pergi Miqael... aku sahabatmu tidak dapat berjauhan darimu, susah senang kita bersama, dari dulu hingga kini. Selama kau bersahabat denganku, kau ajarkan aku erti kasih dan rindu..." balas Dhamah pula yang setia menemani Miqael sejak semalam lagi.

"Tidak Dhamah... sesungguhnya kesucian hati itu milik ALLAH... Dia telah mengirimkan aku pada kau dan Dia juga mengirimkan kau pada aku... ketahuilah segalanya tersimpan Hikmah-Nya. Izinkanlah aku pejamkan mata ini seketika Dhamah... sekejap sahaja... aku letih..." Miqael redha dengan ketentuan ILAHI.

"Sekejap sahaja ya Miqael... jangan terlalu lama kerana aku rela menunggu kau terjaga di birai katil hospital ini. Bila kau bangun nanti aku mahu kau bawakan aku ke tempat yang terindah, biarpaun aku tidak dapat melihat warna alam namun cukuplah sekadar aku dapat menghirup nyamannya," ucap Dhamah dengan suaranya bergetar-getar menahan sebak.

"Genggamlah tanganku erat-erat sahabat. Aku ingin rasakan kehangatan persahabatan kita yang terjalin sekian lama... andai aku pergi, maafkanlah diriku Dhamah... aku rindu pada kasih-Nya, mungkin inilah cara aku membalas budimu yang pernah menyelamatkan aku dari bahana dosa lalu,"

"Jangan kau berkata-kata lagi Miqael, Insya-ALLAH, kau akan sembuh, percayalah, sakitmu itu pasti ada ubatnya,"

"Tidak Dhamah... penyakit ini tiada ubatnya, carilah serata dunia sekalipun, ia tetap begini, inilah takdir diriku Dhamah,"

Miqael tidak dapat bertahan lagi. Kepalanya begitu sakit, benar-benar sakit menyengat segala sendi. Nadinya kian lemah. Matanya mula layu, akan terkatup bila-bila masa. Dhamah di sisinya mengenggam erat tangan si sahabat yang tercinta.

"Dhamah... aku nak tidur sekejap ya, aku letih..." dengan perlahan-lahan Dhamah mengangguk bersama air matanya yang merembes laju.

Miqael mengukirkan senyuman terakhir buat Dhamah meskipun Dhamah tidak dapat melihat senyuman itu.

Dhamah menunggu lama. Kali ini dia menggerakkan Miqael untuk bangun.

"Miqael... bangun... sudah tiba saatnya kau makan, makanan tengah hari sudah disediakan," Dhamah cuba menyedarkan Miqael kerana dia terdengar bunyi piring yang disediakan oleh pembantu penyediaan makanan di hospital.

Tiada kata balas dari Miqael yang menyepi.

"Miqael... bangun Miqael..." berkali-kali Dhamah mengulangi panggilan itu sambil menggoncang tubuh lemah Miqael...

"Encik... saudara Miqael telah pergi..." desis seorang doktor yang memeriksa Miqael.

"Miqael....!!!!!" teresak-esak Dhamah menangisi pemergiaan Miqael tidak sempat beraya pada esok hari. Hari raya terakhir itu tidak dapat diraikan oleh Miqael yang tenat dengan penyakit barahnya itu.

Bila dirasakan pada telapak tangan Miqael terselit sekeping kertas yang terlipat kemas. Lalu Dhamah mengambilnya.

"Doktor, apakah ini?" Dhamah bertanya pada doktor yang bertugas.

"Mungkin surat," teka doktor itu.

"Boleh doktor bacakan...?" Dhamah meminta agar ia dibacakan untuknya.

"Boleh," Doktor itu pun mengambil kertas itu dari tangan Dhamah.

Dengan perlahan-lahan doktor itu pun membacanya.

~Sahabat Juang Di Hati Terluang~

Sahabat... mengenalimu adalah satu anugerah
bercanda denganmu mengukir pelbagai cerita indah
hari lukaku berganti bahagia di saat kamu hadir di mata
namun aku rasakan dunia ini akan aku tinggalkan
aku tidak dapat bertahan jika aku terlupa
lupa janjiku pada Tuhan sebelum aku dilahirkan...

Sahabat.... kau adalah aku....
setiap bicaramu sempurna untukku
setiap larangmu adalah baik untukku
dan setiap suruhmu, aku restu
di situ aku kenal luhurmu
di situ aku tahu siapa kamu
dan di situkah kau adalah aku...

Sahabatku...
biarpun akan tiba saatnya aku akan pergi
ku berharap usahlah dikau tangisi
terimalah mataku ini untuk kau melihat kembali
biarlah aku terus bersamamu melihat dunia
meskipun jasadku tiada di sisimu lagi...

Sahabat....
doakanlah aku damai di sana,
ampunkan segalah dosa dan salah
dan ingatlah pesanku sahabat...
sekiranya takdir membuka matamu
dan kamu bisa melihat alam...
jangan pernah hilang kesyukuran
jangan pernah leka dalam kehidupan
ingatlah... hidup perlu dipenuhi
dengan wangian bunga syurga,
bukan dengan bara api neraka...

dari Miqael untukmu Dhamah...

Doktor yang membacanya menitiskan air mata kerana Miqael telah lama bersetuju untuk mendermakan matanya untuk sahabat tercinta. Sesungguhnya mereka berdua tiada sesiapa lagi di dunia yang fana ini. Dan kini, hanya tinggal Dhamah sendiri yang buta... teraba-raba dalam kegelapan. Walau siang walau malam, sentiasa gelap....

Dhamah kaku. Sendu... syahdu... air matanya menitis laju... sungguh tidak diduga, sahabatnya akan kembali jua menemui Ilahi...

"Ya ALLAH... Kau ampunilah dosanya Ya Allah... Kau luaskankan kuburnya nanti Ya Allah... berikanlah kedamaian padanya... sesungguhnya hanya pada Kau tempat aku memohon," Dhamah berdoa. Doktor yang mendengarnya tidak henti-henti menangis. Terharu melihat persahabatan mereka yang cukup kuat. Meskipun tinggal sendiri namun nilai persahabatan tidak pernah menyepi....

*******************

Kisah kelmarin...

"Kau nak mati ke? Kenapa kau ingin melintas jalan begitu sahaja dan membiarkan kau tidak dipimpin olehku?"

"Aku tidak tahu Miqael, aku fikir kita sudah sampai tepi Tasik Titiwangsa,"

"Belum lagi Dhamah, kita kena melintas jalan dulu, apakah kau tidak dengar bunyi kenderaan laju di sini?"

"Tidak Miqael... pendengaran aku tidak menangkap bunyi itu kerana terlalu asyik ingin sampai ke situ, aku ingin dengar kocakan air dari tasik itu di saat kita baling batu ke dalamnya," ucap Dhamah dengan penuh bahagia. Dhamah tidak memikirkan bahaya kalau dia melintas begitu sahaja ketika turun dari bas Rapid KL tadi.

Miqael cepat-cepat memegang kemas pergelangan tangan Dhamah yang bertongkat itu.

"Kau mesti bersabar Dhamah... sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dikasihi Tuhan. Hidup ini tak mudah tapi akan jadi lebih mudah kalau kita benar-benar bersabar mengikut segala apa yang ditetapkan oleh-Nya. Seperti hidup ini, kalau kita sendiri maka kita akan susah. Aku akan bersamamu Dhamah walau ke mana pun kau pergi. Aku ingin menjadi petunjuk arah jalanmu..." kata Miqael sambil menoleh kiri dan kanan bersedia untuk melintas jalan.

Dhamah terus mengangkat tangannya dan menggosok perlahan ubun-ubun kepala Miqael yang berambut lurus itu.

Dalam masa yang sama, Miqael membetulkan kopiah Dhamah yang sedikit senget itu.

"Terima kasih," ucap Dhamah perlahan. "Marilah kita pergi, aku ingin ke situ, Miqael," kata Dhamah lagi.

"Iyalah aku akan bawakan kau ke sana," balas Miqael lalu melintas jalan ketika kenderaan tiada di situ.

Dalam lima minit mereka berjalan melalui kawasan Istana Budaya, tidak di duga oleh mereka didatangi oleh budak-budak motor mengkerumuni mereka di situ. Masing-masing memandang bengis pada Miqael dan Dhamah.

"Woi orang buta, aku fikir kau mesti dapat banyak duit kan? Banyak kau dapat derma dari orang-orang di sini? Betul tak?"

"Kau yakin dia ni betul sangat ke meminta sedekah. Aku yakin mereka ni penipu. Korang pun tahu kan dalam akhbar mendedahkan sindiket pengemis yang menipu. Dan meminta simpati kononya," kata salah seorang dai mereka pula.

"Makan duit haram dengan menipu! entah buta entah tidak. Tapi haram-haram pun kalau kita dapat duit dia bolehlah kita pergi clubbing malam ni," kata budak kepala botak pula.

Miqael kaku jantungnya berdebar-debar.

"Miqael... siapa mereka ni?" tanya Dhamah pada Miqael yang masih memaut lengannya.

"Mereka mahu ganggu kita, tapi kau jangan risau, aku ada di sisimu Dhamah..." Miqael meyakinkan Dhamah bahawa mereka akan selamat.

Salah seorang dari mereka terus meragut beg yang tergantung dari bahu Dhamah itu. Tidak tahukah mereka bahawa Miqael dan Dhamah tidak pernah mengemis? Tidak tahukah mereka Dhamah seorang pekerja kilang? Walaupun Dhamah buta tapi Dhamah mempunyai pekerjaan. Dhamah ada kelebihan. Dhamah tidak mengemis dan tidak pernah meminta-minta namun saat dia begitu ada sahaja yang pernah memberikan bantuan. Dhamah menerima kerada dia tahu, Allah tidak suka pada orang-orang yang menolak rezeki.

Miqael juga begitu. Dia bekerja di tempat yang sama dengan Dhamah. Setiap hari mereka akan pergi kerja bersama-sama. Cuma hari ini hari cuti. mahu menghirup nyaman udara pagi di Tasik Titiwangsa. Itu sahaja... bukannya untuk datang mengemis di situ.

"Banyaknya duit....!" mereka terkejut melihat isi duit yang ada di dalam itu.

Miqael mula marah kerana mereka bertindak biadab. Duit itu adalah duit zakat yang diberikan pada Dhamah oleh jabatan kebajikan masyarakat. Mengapa budak-budak ini terlalu naif dalam berfikir?

'Ya Allah... Kau selamatkanlah kami dari sebarang bahaya,' Doa Miqael dalam hati.

Miqael ingin mengambil semula beg itu.

"Pulangkan kembali beg itu. Jangan kau ambil hak orang lain," pinta Miqael dengan baik-baik.

"Wah.... nak mengajar kami pulak, geng!! apa lagi!!"

'Ambik ni!!" satu tendangan hebat tepat mengena muka Miqael. Dhamah tidak tahu apa yang berlaku tapi dia fikir Miqael dalam bahaya. Cepat-cepat dia menghayunkan tongkatnya agar terkena salah seorang dari mereka. Namun apalah daya si buta....

Di saat Miqael terlentang di situ, mereka tidak henti-henti memijak Miqael bertubi-tubi. Miqael mengalami kecederaan. Penyangak itu pun terus berlalu dan melarikan beg milik Dhamah.

"Ya Allah..." rintih Miqael.

"Miqael...." Dhamah meraba-raba mencari tubuh Miqael dan akhirnya Dhamah berjaya mendapatkan Miqael.

Kepala Miqael berdarah dihentam dengan topi keledar. Dhamah dapat merasakan cecair yang mengari. Basah di tangannya.

"Tolong!!!!!" pekik Dhamah....

"Miqael, jangan kau tinggalkan aku! tolong Miqael!! tolonglah... Ya Allah... Kau selamatkan sahabatku yang baik ini yang Allah... tolonglah Ya Tuhan... aku merayu padamu!! Hantarkanlah sesiapa pada kami di sini agar membantu Miqael untuk dihantar ke hospital..." Dhamah merayu-rayu pada Sang Pencipta yang Maha Kuasa.

*********************


Episod luka seorang sahabat.

Aku telah melihat alam ini. Aku bersyukur pada ILAHI kerana sepanjang aku bersahabat dengan Miqael, inilah pertama kalinya aku dapat melihat potretnya. Sungguh manis orangnya. Rambutnya yang lurus matanya yang segar, wajahnya yang cerah secerah budinya pada aku.

Miqael... sesungguhnya engkaulah sahabat yang terbaik yang pernah aku dapat. Sejak kita bersama di rumah anak-anak yatim lagi, kau selalu membantu aku. Makan sepinggan dan tidur sebantal. Lukamu lukaku jua. Memang terlalu perit mendengar khabar dirimu diserang barah sekian lama. Tuhan lebih menyayangimu dari aku...

Sahabat... pengorbananmu begitu tinggi. Luhur budimu mengajarku erti sabar. Kau adalah aku, dan aku adalah kau... cermin rindukan ditatap olehmu dalam lukaku dulu. Kini potretmu menemani hari-hariku...

Dhamah berjiwa halus. Berjiwa seni. Dia meluahkan segala isi hatinya kini melalui lukisan jiwanya di Central Market Kuala Lumpur. Di situ dia bertandang mencari damai sambil melihat umat manusia lalu lalang. Sudah setahun Miqael pergi meninggalkannya.

Dhamah tidak lagi bekerja di kilang. Dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan melukis sahaja.

"Encik... boleh lukis gambar saya?" tiba-tiba muncul seseorang di situ.

Dhamah terkejut.

'Miqael?' serupa dengan potret yang tersimpan.

Dhamah tidak pernah tahu bahawa orang yang berada di hadapannya itu adalah kembar Miqael yang sengaja dipisahkan oleh keluarganya kerana pergolakan harta dan rumah tangga. Begitu juga dengan lelaki itu, dia juga tidak tahu akan kewujudan saudara kembarnya.

"Berapa encik ambil?" tanyanya.

"Orang seni seperti saya tidak meletakkan harganya, ia bergantung pada nilai seni yang saya hasilkan pada mata encik..." ucap Dhamah yang masih terkejut.

"Okey, kalau begitu lukiskan sahaja ya... saya duduk di sini..." kata lelaki itu yang sungguh bergaya.

~Tamat~

No comments:

Post a Comment